Skip to main content

Bekam - Perubatan Sunnah Rasulullah SAW


Bekam - Perubatan Sunnah Rasulullah SAW


KAEDAH rawatan bekam, yang wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun, semakin diyakini terutama di negara-negara Islam sebagai kaedah perubatan yang dikatakan dapat membantu menyembuhkan penyakit terutama yang kronik.

   
Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.

   
Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit.

   
Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya.

   
Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.

   

KEKELIRUAN PERUBATAN BEKAM

   
Kegagalan menjelaskan secara saintifik rawatan bekam dan kebaikannya mungkin antara punca wujudnya andaian-andaian itu.

   
Pengusaha dan pakar rawatan bekam, Pusat Homeopati, Refleksiologi dan Bekam Al-Jawad, Dr(homeopati) Ibrahim Burhanuddin berkata seseorang pengamal rawatan perubatan bekam harus mempunyai ilmu bukan sahaja ilmu bekam tetapi ilmu-ilmu berkaitan dengannya seperti psikologi dan saraf.

   
Beliau, yang telah berpengalaman lebih 17 tahun dalam rawatan bekam berkata, masyarakat hari ini yang berpendidikan tinggi dan terbuka, mahu mengetahui secara saintifik satu-satu rawatan itu sebelum bersetuju untuk melakukannya. 

   
"Ramai pengusaha yang kurang mahir, jadi apabila ditanya apa tujuan bekam, macam mana fungsi setiap rawatan itu kepada anggota badan, mereka gagal menjelaskannya.

   
"Ini menyebabkan masyarakat tidak faham dan ia antara kekangan mengapa rawatan bekam sukar untuk pergi lebih jauh sepertimana bidang perubatan akupuntur yang mendapat pengiktirafan dunia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

   
Berkongsi pengalamannya sendiri, beliau berkata segalanya bermula pada tahun 1991 setelah mencuba rawatan bekam bagi mengubati penyakit gastrik dan paru-paru berair yang dialami sejak sekian lama.
   

Setelah mencuba pelbagai ubat, masih gagal merawat penyakit yang dihidapi hingga beliau mencuba rawatan bekam dan kemudian pulih daripada penyakit itu.
   

"Dari situlah saya mengkaji dan belajar kaedah rawatan bekam daripada beberapa orang guru termasuk seorang guru bekam dari Korea. Saya kaji bagaimana bekam boleh menyembuhkan penyakit dan bagaimana ia menjadi perubatan terbaik sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi," katanya, yang turut mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang homeopati dari Universiti Sumatera Utara, Indonesia.



TOKSIN PUNCA PENYAKIT ?

   
Daripada kajian-kajian perubatan, penyakit yang singgah dalam tubuh individu itu berpunca daripada toksin. Ia diumpamakan seperti sampah yang menyebabkan tiga pembuluh darah iaitu alteri, vena dan kapilari menjadi sempit dan lemah hingga tidak mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna.

   
Ketiga-tiga pembuluh darah ini jika disambungkan akan menjadi sepanjang 96 kilometer, menurut Ibrahim.

   
Ia perlu dibersihkan bagi membolehkan ia mengalir dengan lancar.   


Jelas beliau, apabila darah tidak dapat mengalir dengan sempurna, ia tidak dapat menghantar oksigen dan pemakanan yang diperlukan ke seluruh organ-organ tubuh.

   
"Apabila semakin banyak toksin dalam badan, oksigen akan bertambah kurang. Ini menyebabkan orang yang sakit akan bertambah-tambah sakit sekiranya sel-sel dalam badan tidak mendapat nutrien dan oksigen yang cukup," katanya.

   
Apa yang membezakan setiap pesakit ialah tempat-tempat toksin itu berkumpul hingga menyebabkan pelbagai penyakit datang seperti gout, kencing manis, jantung, darah tinggi dan buah pinggang.

   
Jika toksin banyak berkumpul di kepala, sakit kepala mudah datang, akan cepat mengantuk, tumpuan akan hilang, susah untuk tidur dan pelupa hingga menyebabkan darah tinggi dan akhirnya strok, katanya. 

   
"Contohnya, gula dalam darah yang normal bacaannya 4 hingga 6, jika lebih daripada itu seperti bacaan 8 hingga 10 yang lebih itulah toksin. Begitu juga dengan kolestrol dalam badan.

   
"Cara untuk membuang toksin ini dengan cara membuang darah kotor yang terkumpul. Semakin banyak darah kotor yang dibuang semakin lancar dan bersih darah yang tinggal dan penghantaran oksigen dan pemakanan dalam tubuh akan berjalan lancar," katanya.
   

PUNCA TOKSIN

   
Ramai yang menyatakan toksin dalam badan diperoleh melalui pemakanan dan minuman. Ia mungkin satu daripada puncanya. Namun punca sebenar toksin terkumpul dalam tubuh kerana terganggunya sistem buah pinggang dan hati yang bertindak sebagai penapis terbaik di dunia. 

   
Buah pinggang yang sihat bekerja sebagai penapis darah daripada segala kekotoran yang akan dikeluarkan melalui air kencing, manakala hati pula bertindak sebagai penapis bahan-bahan kimia yang masuk ke dalam tubuh badan.

   
Apabila seseorang itu mengalami penyakit kronik, fungsi hati dan buah pinggang yang akan terganggu terlebih dahulu.

   
"Tidak akan berlakunya penyakit kronik kepada diri individu sebelum menurunnya fungsi kedua-dua organ ini. Selama buah pinggang dan hati seseorang itu sihat, dia akan sihat", katanya.

   
Cara perubatan dan penyembuhannya ialah dengan menyihatkan kedua-duanya kerana selagi organ utama ini tidak sihat, penyakit kronik yang dihadapi tidak akan sembuh.

   
"Bukan nama penyakit itu yang harus dihilangkan kerana penyakit kencing manis, sampai mati tidak akan hilang. Begitu juga jantung dan darah tinggi.

   
"Yang penting orang itu yang harus disihatkan. Apabila orang itu diubati, penyakit itu akan hilang. Caranya dengan mengesan mana punca datangnya sakit itu," katanya.

   

BEKAM UNTUK PESAKIT KRONIK

   
Ada yang menyatakan bahawa pesakit kronik seperti kencing manis tidak boleh menjalani rawatan bekam kerana dibimbangi akan menyebabkan luka sukar untuk disembuhkan.

   
Ibrahim berkata pendapat itu tidak benar, kerana beliau sendiri telah merawat pesakit kencing manis kronik melalui bekam dan pesakit telah menunjukkan kesan yang positif melalui kaedah itu.

   
Katanya, seseorang pesakit kencing manis sukar sembuh pada luka yang terdapat di kakinya kerana kandungan gula dalam darah telah menyumbat pembuluh darah hingga menyebabkan kaki menjadi kebas, saraf tidak dapat berfungsi kerana darah tidak dapat dihantar ke kawasan itu.

   
Yang akan menyembuhkan luka itu ialah antibodi yang terdapat didalam darah bersih dan apabila pengaliran darah telah tersumbat, ia tidak dapat sampai ke tempat yang luka.

   
"Perlu dikeluarkan toksin itu dan secara perlahan-lahan darah bersih akan mengalir ke kawasan luka, yang akan menjadi antibodi terbaik berbanding antibiotik untuk menyembuhkannya.

   
"Dengan berbekam akan membuka laluan-laluan darah tersebut jika dilakukan dengan betul," katanya.

   
Untuk pesakit kronik, bekam harus dilakukan secara teratur melalui konsultasi yang betul bagi menyembuhkannya. Ia berbeza bagi setiap individu.


Manakala bagi yang tidak mempunyai penyakit kronik digalakkan melakukan rawatan bekam sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi membuang darah kotor untuk melancarkan pengaliran darah bersih.
   

Comments

Popular posts from this blog

Bersihkan Saluran Darah Pada Wajah Dengan Berbekam

Bersihkan Saluran Darah Pada Wajah Dengan Berbekam " Sakitlah melakukan bekam pada wajah. Nanti kesan lebam susah nak hilang. " Itu antara kata-kata yang menakutkan daripada sahabat ketika Nurul Iffah Wahid Anuar, 27, menyuarakan hasrat untuk melakukan bekam kosmetik atau wajah. Dia ingin melakukan rawatan itu kerana tidak tahan dengan jerawat yang tumbuh pada muka. Tambahan pula, sudah banyak produk penjagaan wajah yang dicuba, namun semuanya sia-sia. Betul, dalam empat tahun sebelum ini, muka saya memang penuh dengan jerawat. Memang rasa malu sangat dan tidak yakin langsung mahu keluar rumah. Jerawat tumbuh paling teruk apabila saya makan udang dan sotong dengan kerap. Sebab kulit saya jenis alergik dengan makanan laut tetapi itulah degil juga hendak makan, padan muka saya, ujarnya dalam nada geram. Darah kotor Tambah wanita yang berasal dari Temerloh, Pahang itu, dia perlu melakukan rawatan bekam pada wajah kerana tidak mahu berhabis wang membeli pencu

Servis Bekam Kuala Krai

- SERVIS BEKAM KUALA KRAI 15 Cup + FREE 2 Cup = RM 50 -  014-8002900 / 014-8002900 / 014-800900 Bekam Sunnah Rawat & Cegah Pelbagai Penyakit Kronik Dengan IzinNYA. . "..Sebaik-Baik Perubatan Adalah BERBEKAM.." . TERAPI BEKAM : Pembersihan darah atau angin dengan cara mengeluarkan sisa darah bertoksik atau angin dalam badan. Ianya dilakukan secara sedutan dikulit dengan pelbagai alat seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh, gelas & alat vakum bekam.   KELEBIHAN BEKAM SUNNAH   Buang darah kotor bertoksid dalam badan yang menjadi punca pelbagai penyakit kronik.   Perbaiki saluran & aliran pembuluh darah.   Atasi masalah tekanan darah & kolestrol dalam darah.   Buang angin dalam badan.   Melancarkan sistem pernafasan & perkumuhan.   Pulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang & urat sendi di kaki.   Cegah kebas bahagian badan terutamanya di kaki & tangan.   Kurangkan risiko serangan angin

Kebaikan Bekam Muka

Kebaikan Bekam Muka SAKIT kepala atau migrain, situasi yang mungkin berpunca daripada faktor pemakanan, keturunan atau gaya hidup, yang muncul sekali-sekala dan jarang berlarutan pada jangka masa yang lama. Begitupun, sakit kepala yang berlarutan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ada kalanya ia boleh memudaratkan diri dan menjadi lebih teruk. Selain pengambilan ubat tahan sakit, pil serta minyak angin, ramai yang tidak mengetahui dengan melakukan bekam mampu mengurangkan sakit kepala secara beransur-ansur. Bekam yang lazimnya dilakukan di bahagian belakang badan untuk mengeluarkan darah kotor secara tidak langsung adalah bertujuan untuk melancarkan peredaran darah di dalam badan dan begitu juga dengan bekam yang dilakukan di kepala. Namun begitu, cara bekam yang dilakukan untuk mengurangkan sakit kepala selain di bahagian kepala adalah di bahagian muka. Bekam Di Lakukan Di Kawasan Muka Seperti yang diketahui, kaedah bekam badan sahaja akan meninggalkan kes